Friday, July 22, 2011

AYAM KASHMIR

Salam Jumaat.... Dah masak ke belum? Dah makan ke belum? Belum makan? Alahai..  Kesian perut yang menyanyi2, bergendang gendut tali kecapi tu minta di isi2. Belum tahu nak masak apa? Oooo.. nape tak cakap.. Meh..meh kita cuba resepi ni pulak.. Ayam ada tak ? Kalau tak da, tak pa.. kita postpone esok. Esok cuti kan? So, esok boleh pergi pasar beli bahan2 sumer peh tu kita terbang ke KASHMIR.!!! Yeaahahhahh.... ( Eh.. pesal aku ni? Anything wrong? )

 

AYAM KASHMIR... Ala2 Bollywood gitu.  Salman Khan, Shah Rukh Khan, Ali Khan, Ahmad Khan mesti dah familiar sangat punya resepi ni. Asal kejadian resepi ini berada di dapur aku, gara2 terpesona dengan dapur Kak Azlita la ni. Apa2 pun sesiapa yang belum cuba , silalah cuba.  Gerenti lancar je speaking Hindustan lepas tu.

 
Kenapa aku try resepi ni? Sebab aku nak habiskan rempah beriani yang tak habis2 lagi tu. Menghabiskan stok di samping mencuba resepi baru. Kalau Kak Ita makan dengan nasi kismis, aku lawankan dengan nasi putih biasa je.. Janji makan panas2 semua jadi sedap. Kalau ada lebihan , boleh guna untuk cicah dengan roti Gardenia tu je ke, roti canai ke.. Semua sedap !! Janji jangan lupa baca Bismillah..okey..

 
Ok la jom kita teropong resepinya di bawah. Manalah tahu dah ada stok bahan2 di rumah, boleh mula dah memasak. JOMMM..


1/2 kg ayam - dipotong ikut suka dan digoreng 1/2 masak jika suka

Bahan A

6 biji bawang merah - dihiris
1/2 labu bawang besar - dihiris
3 bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 batang serai - diketuk
rempah 4 sekawan
sedikit daun kari

Bahan B

3 sb puri tomato
1 sb serbuk cili ( aku guna cili kering yang dikisar)
2 sb rempah beriyani
2 sb rempah kari daging
4 biji tomato - dipotong kecil
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya
2 biji ubi kentang - dipotong

Cara2:

  1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan A hingga terbit bau.
  2. Satukan serbuk rempah, puri tomato dan serbuk cili di dlm mangkuk dan bancuhkan dengan sedikit air.
  3. Kemudian masukkan ke dalam bahan A tadi dan tumis lagi hingga pecah minyak.Masukkan ayam, ubi kentang dan air secukupnya. Gaulkan.
  4. Biarkan ia masak.
  5. Masukkan tomato, garam dan gula secukupnya.
  6. Hidangkan setelah masak.



Ikhlas tapi jauh...

Thursday, July 21, 2011

CUSTARD TEA CAKE

Dah lama intai2 resepi ni kat blog Kak Kida. Tapi tak terbuat2, ada-ada je resepi yang potong queue. Jadi sebelum dia merajuk, aku pun buat la cepat2. Tak sia2 aku buat. Balqis sekali suap, dua kali puji, suap lagi sekali, tiga kali puji. Isykk... aku pun dah sampai di awangan2 tak berpijak di bumi nyata dah. Tapi apa yang perhatikan, spesies2 kek ni selalunya kaum Hawa yang suka. Kaum Adam ni tak berapa nak layan sangat. Tapi tak kisah lah kan, diorang tak berapa nak minat pun aku tak paksa.. dapat aku makan lebih.   Selera masing2 la kan..

 
Kek ni ada kelainan sikit. Diletakkan sos kastad di dalamnya. Elok di makan bila dah betul2 sejuk jadi kastad tu pun dah keras sikit. Tapi aku ... ah...malas la nak cerita..!! 

Kalau guna adunan yang  diberikan memang sikit. Tambah pulak kita kena buat dua lapisan ( dasar dan penutup) jadi kalau guna adunan resepi ni kena pastikan guna loyang kecil sebab nanti tak cukup/padan pula untuk letak lapisan untuk menutupi sos kastad tu.  Jadi kalau nak guna loyan besar, kenalah buat 2 adunan.  Ini ikut pengalaman aku la...

 
Kalau Hasue buat 2 adunan untuk kastad, aku pula buat 3 adunan. Hehehe.. ( jangan marah eh cikgu..) . Tapi ok juga aku buat 3 adunan. Selain di'cukai' oleh pegawai2 kastam kat rumah ni (termasuk aku), rasanya lagi best bila letak inti banyak2 sikit kan.  

 
Ini lah dia hasilnya kek aku ini. Nak tengok resepinya? JOM IKUT AKU...


BAHAN KEK :-)

125 gram mentega 
1/3 cawan gula halus @ gula kastor
1 biji telur gred A
3/4 cawan tepung naik sendiri ( aku guna 3/4 cawan tepung gandum + 1 sudu kecil b.powder)
1/2 cawan tepung kastard
1/2 camca teh esen vanilla

BAHAN KASTARD :-) ( aku buat 3 adunan untuk sebiji kek )

1 camca besar tepung kastard
1 camca besar gula kastor
2/3 cawan susu segar 
15 gram mentega 
2 camca teh esen vanilla

CARA MEMBUATNYA :-)

1. UNTUK KASTARD :- Satukan semua bahan untuk kastard kecuali mentega dan esen vanilla. Kacau rata dengan whisk dan masak dengan api perlahan sambil terus dikacau hingga pekat. Padam api, tambah mentega dan esen vanilla, kacau rata dan biar sejuk. Ketepikan.
2. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser tin bulat saiz 7 inci  Ketepikan.
3. Putar mentega dengan gula halus hingga berkrim, masuk telur dan putar hingga kembang. Tambah esen vanilla. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung naik sediri + tepung kastard sedikit demi sedikit hingga habis. Gaul rata.
4. Masukkan 1/2 adunan ke dalam bekas yang telah disediakan, ratakan dan buat sedikit lubang ditengah2nya. Tuang kastard, ratakan dan tutup dengan baki adunan, ratakan dan bakar selama 30 minit atau hingga masak.
5. Sejukkan sebelum dihidangkan. Jika suka boleh ayak gula aising atas permukaan kek sebagai penyeri...Selamat mencuba!!!




Ikhlas tapi jauh...

NASI GORENG CINA

Kenapa namanya Nasi Goreng Cina ek? Sebab asalnya masakan cina ke? Tak kisah lah apa2 pun.. tapi atas dasar mesra rakyat, apa  kata aku nak namakan dia Nasi Goreng 1 Malaysia.. ok tak? Isykk... macam nak bagi nama anak la pulak aiii...

 
Nasi ni sempoi ya amat.. Sempoi2 pun sedap! Makan pulak panas2. Lawan pulak dengan sambal kicap.. alahai.. Kali ini aku guna rencah fish ball je.. ayam dah out of stock, udang pun sama. Tak pe, itu perkara kecil saja dong.. bisa di atuuurr..

 
Anak2 aku (yang kecik dua orang tu la ) kalau nampak fishball memanjang nak kidnapped fish baaaaaal  jer. Nasi tak mau makan.. Ngelat betul. Sekadar penghias pinggan je nasik tu pun. Habis dikutip licinnya fish ball tu. Tak cukup pinggan sendiri, pergi pulak nyendeng pinggan orang lain. Kalau sapa2 tanak kasi.. terus aim nasik tambah..!! Aiseyman..! Ini macam kalu, orang belakang alamat tinggal nasik kosong je la...

 
Ok la.. tak yah celoteh panjang2. Jom kita belek2 resepinya. Resepi aku ambil dari buku resepi "Senangnya Memasak Nasi Chef Hanieliza".  Aku adjust2 sikit ikut apa yang ada..

Bahan:-

1 mangkuk nasi sejuk (diperoi)
2 biji telor
100 gm udang ( aku guna fishball)
100 gm sayur campur ( aku potong dadu carrot )
1 pokok daun bawang (dipotong pendek)
Garam secukup rasa
2 sudu besar minyak masak
2 ulas bawang putih ( dicincang halus )
1 sudu kecil lada hitam biji ( aku guna lada sulah )

Cara Memasak:-

Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih hingga wangi.
Masukkan telor dan biarkan sebentar.
Apabila telor sudah separuh masak, kacau supaya hancur sedikit.
Masukkan sayur campur dan fishball. Kemudian kacau rata.
Masukkan nasi ,garam dan lada sulah . Kacau rata hingga nampak berasap dan tutup api.
Masukkan potongan daun bawang dan kacau rata.
Angkat dan hidangkan dalam pinggan bersama salad dan keropok.


Ikhlas tapi jauh...

Wednesday, July 20, 2011

APAM BELANG

Pertama kali dalam sejarah masak-memasak  aku guna kaedah membelang2 ni. Best jugak ye.. macam masuk kelas seni  la pulak. Tapi ini pun kira seni la kan.. SENI MEMASAK. Hasil belang membelang ni tentunya lebih menyelerakan selain nampak lebih camtik. Terima kasih Kak Azlita kerana menunjuk ajar step by step cara2 membelang ni. Ini lah hasilnya assignment yang diberi. Yang lubang2 di permukaan tu, buat2 tak nampak aja lah ye..

 
Aku menggabungkan tiga warna yang aku rasakan bersesuaian berdasarkan apa yang ada di rumah. Warna coklat aku gunakan perisa mocca,  warna kuning aku gunakan perisa pisang manakala warna hijau aku gunakan paste pandan. Waahh.. mantop jugak rasanya..  Part membelang tu yang aku suka.  Ini versi anak2 aku belum bangun tidur. Kalau diorang tumpang sekaki aku pun tak berapa nak pasti macamana versi belangnya. Hehheh..

 
Bila dah dibelangkan macam ni , rasanya pun boleh divariasikan. Jadi tak adalah statik pada satu rasa sahaja . Nak cuba? Meh kita intai2 resepinya ...




APAM BELANG

by: Shamama
sumber : Ucu Faridah

Bahan2:
4 biji telur
2 sudu teh ovellet
1 sudu teh esen vanila
300 gm tepung gandum
220 gm gula halus
250 ml santan kara (aku guna 200ml santan kotak + lagi 50ml air)
1 sudu teh baking powder
pewarna

Cara:

Pukul telur dgn gula dan ovelet sampai gebu.
Masukkan santan dan esen vanilla kacau sebati.
Masukkan tepung yg diayak bersama baking powder dan kacau rata.
Bahagi kepada 3 warna yg disukai dan kacau rata adunan dgn warna.
Tuangkan selapis demi selapis sehingga habis dan kukus 30 minit sehingga masak. (Scoop 3 sudu besar setiap warna dan lapis sehingga habis)


Ikhlas tapi jauh...

SUP EKOR LEMBU ( Chef Wan )

MARI..  MARI.. . Kita makan Sup Ekor!!!

Sebenarnya ni saja je aku nak menge'test' Pressure Cooker (PC ) baru. Nak tahu juga kehebatan encik PC kita tu. Kalau kerja ok aku nak ambik jadi buruh tetap kat rumah aku. Tapi..gaji tak ada la..kira macam kerja amal gitu...Nak pakai PC ni kena bersedia fizikal dan mental. Ilmu pun kena cukup. Kalau tak mahunya berterabur satu dapur. 

Disebabkan kesedaran betapa pentingnya menuntut ilmu maka aku dengan cekal hatinya mencari 'pusat2 pengajian' percuma yang menawarkan kursus menggunakan PC. Dipendekkan cerita,  akhirnya, berjumpalah aku dengan 'tok guru' yang nyata begitu arif tentang selok belok PC ni dari A to Z. Penerangan yang  diberikan bukan setakat panjang, malahan sangatlah lebar..!!  Terima kasih banyak2 Profesor Hasue kerana sudi jadi 'manual interactive' akak eh..!! Satu sen pun tak payah bayar, memang hundred percent PERCUMA..!! ( JOM, Rebutlah peluang ini sementara stok masih ada..)...Heheh... sorry la Sue ye. Jangan kang lepas ni jadi kaunter pertanyaan sudah lah.. Anyway.. Sue ni sup semangkuk eh? 

 
Wokeh..wokeh... aku akui memang best guna PC ni. Aku punya phobia pun sudah hilang. Makin menjadi2 semangat aku nak masak guna PC. Sikit2 guna PC.. sikit2 guna PC. Ini macam kalu, gas yang semakin mahal tu boleh tahan sampai 5 bulan gamaknye ye? 

Yang kelakarnya masak pakai PC ni satu kampung boleh tahu aku tengah masak! Bising kemain..mengganggu ketenteraman awam. TIDAK SESUAI DIGUNAKAN SELEPAS JAM 12 TGH MLM. Masa mula2 guna tu, tentera2 aku kat rumah bila time bunyi wisel tu jer semua berlari ke dapur terutama yang si kecik2 tu la. Sibuk bertanya  itu ini maklumat2 yang diperlukan untuk buat report pada pegawai atasan. "Bunyi apa tu?".." Tak bahaya ke?" ..." Tak meletup ke?".. " Kenapa ada asap? " Haisyyy.. dah la mama tengah suspen first time guna, macam2 pulak ditanya nye...Sebatu aku duduk haaa... ( Cuma tak ada la sampai peringkat aku pakai topi dan jacket keselamatan. Kira ok la tu.. hahhaha)

 
Haaa... ini la dia hasil eksperimen aku ..! Sedap ni... tapi bagi aku , aku lebih suka cicah dengan roti kalau sup versi macam ni daripada makan dengan nasi. Resepi ni asalnya dari Chef Wan tapi aku ambil di sini. Sebenarnya , aku ada 2 pilihan resepi untuk sup ekor ni. Tapi aku nak sangat2 cuba yang ni sebab ada kelainan dari segi bahan2 yang digunakan. Tak pernah pulak aku gunakan tomato puri untuk sup. Dan hasilnya memang tidak mengecewakan.  Selain ekor lembu, kita juga boleh gantikan dengan tulang lembu atau daging tetel pun best ...!!

 
Jom kita tengok resepinya. Manalah tahu terbuka hati untuk mencubanya..heheh

 Bahan-bahan:

  • 125 ml / 1/2 cwn minyak sayuran
  • 500g ekor lembu  
  • 2 sb ketumbar tumbuk ( aku guna serbuk)
  •  1 sb jntan putih
  •  1 sb jintan manis
  •  1 1/2 sb puri tomato
  •  6 cwn air  ( aku guna 4 cawan air)
  •  1 btg karot - didadu
  •  2 btg saderi - didadu (tak letak)
  •  1 biji kentang - didadu 
  •  garam, lada hitam yg baru dikisar
  •  daun ketumbar - dihiris2
  •  bawang goreng 


Rempah Tumis:
  •  4 bj buah pelaga
  •  1 cm kulit kayu manis
  •  6 kuntum bunga cengkih 
  • 2 kuntum bunga lawang 


Dikisar Halus2:
  •  10 ulas bawang merah 
  • 4 ulas bawang putih
  •  2 btg serai, dihiris2 ( aku ketuk ja, tak hiris pun)
  •  1 cm halia 


Cara:

1. Panaskan minyak, tumis ekor lembu hingga perang sedikit. Angkat & tuskan .
2. Dlm minyak yg sama, masukkan rempah tumis & bahan kisar dan goreng hingga naik bau.
3. Tambah ketumbar, jintan putih dan jintan manis. kacau di atas api kecil selama 3-4 min hingga wangi. Campur tomato puri.
4. Masukkan ekor lembu, tambah air dan renihkan.
5. Tambah karot, ubi kentang dan saderi. Renihkan hingga ekor lembu empuk. Perasakan dgn garam & lada hitam.
6. Hias dgn daun ketumbar & bawang goreng sejurus sebelum menghidang.

Catatan: Utk jimat masa, masak sup ni dgn dlm masa 25min ( aku buat 30 minit) dgn periuk tekanan. Tetapi airnya hendaklah dikurangkan menjadi 1l @ 4 cwn shj.

***rebus guna periuk biasa dkt 2 jam baru masak.



Ikhlas tapi jauh...

Tuesday, July 19, 2011

CHAR KUEY TEOW


Aku suka Char Kuey Teow! Hidangan macam ni sedap makan panas2, sejurus lepas dimasak. Tidaklah nanti kuey teow tu dah kembang dengan kuahnya dah tak berapa kaww..!! Dulu zaman aku muda remaja, masih belajar aku selalu berulang makan kat gerai Char Kuey Teow ni dengan kawan2 serumah . Sampai muka kami pun tokey tu dah kenal.. Memang sedap CKT dia.. Dia tak kedekut udang tu yang  best tu. Lagi menambah selera aku sebab nama gerai tu sama dengan nama Encik Hubby aku sekarang ni (tapi orangnya tak sama la)..itu la agaknya aku lagi suka pergi makan kat situ kooot?? Hahahah... tak berkaitan pun.. Isykk..rindu la pulak zaman2 kanak2 riang tu..

 
Apa yang istimewanya resepi ni sebab dia ada bagitahu cara buat paste untuk CKT. Jadi, bila time nak masak tinggal masukkan rencah, paste yang dah disediakan awal2 tu, kuey teow, telur dah SIAP!!! Aku rasa kalau masak asing2 untuk sepinggan sorang nak makan lagi best.. baru lah senang nak buat kuah basah2 sikit. 

Tapi aku dah ramai rakyat dalam rumah ni manalah sesuai kan.. Alamatnya menunggu kat dapur la aku jawabnye.. Tiba time aku punya hidangan, orang yang first makan dah order satu lagi.. Isyk... memikirkan 'risiko' tu maka aku pun buat sekali harung je la... Hahaha. Tak pe la kan.. JANJI SODAAPPP..

 
Ok la..macam2 mana pun cara kita buat, resepi dah ada terpulang pada kita lah nak adjust2 ikut kesesuaian masing2. Tapi , aku suka resepi ni. Memang sedap..!! Tak caya meh kita try dulu..  Hasilnya memang tidak mengecewakan.. Resepi asalnya dari Myresepi che 'iza tapi aku jumpa di sini . Terima kasih ye kepada penyumbang resepi...



Bahan-bahan
Untuk Paste

* 200 gm udang
* 250ml air
* 4 ulas bawang putih di ketuk
* 6 sudu besar sos tiram
* 3 sudu kecil kicap pekat
* 3 sudu besar kicap manis
* 1 sudu kecil petis ( aku tak letak pun sebab tak pernah beli/guna)
* 2 sudu besar pati ikan bilis / pati udang
* 2 sudu kecil garam (kalau sos tiram masin kurangkan 1sudu kecil)
* 1 sudu kecil gula

Untuk Mee

* 300 gm kuey teow
* 1 sudu besar cili boh ( aku guna cili merah sebab time buat cili boh tak ada ..)
* kerang 
* sedikit kucai & taugeh
* 2 biji telur

Cara-cara


1. UTK PASTE- Rebus udang dgn air. Bila udang hampir masak, angkat udang dan ditoskan airnya. Air rebusan jgn buang.... ( aku kupas siap2 udang dan rebus kulit udang sahaja )
2. Campurkan semua bahan utk paste dgn air rebusan udang tadi, reneh hingga menjadi paste yg agak pekat. Matikan api biarkan paste sejuk dan bolehlah simpan dlm fridge.
3. UTK MEE- Tumis lada boh hingga garing. Masukkan dlm 4 sudu besar paste tadi. Masukkan udang yg telah direbus tadi dan kerang. Biasanya penang char kuey teow agak berkuah so letak sikit air dlm 1/2 cwn.
4. Air didih masukkan kuey teow, kucai, taugeh n kacau rata. Pecahkan telur, kacau dan bolehlah diangkat. Proses memasak kuey teow ni dlm 3-4 min jer, pastikan api kuat semasa memasak.
5. **Paste ni selalu depa guna tuk meniaga so udang yg direbus mmg depa pakai. Tapi utk kegunaan sendiri kalau tak nak rebus ngan udang pun boleh tapi petis kena tambah lagi, jd 1 sudu besar. Paste ini juga sepatutnya sudah cukup masin dan manisnya so tak perlu letak lg garam n gula masa masak buat kuey teow tapi kalau rasa cam tawar leh adjust eh..


Ikhlas tapi jauh...

BUN COKLAT

Dah lama aku berangan2 untuk buat roti sendiri. Macam best je .. tapi macam tak confident pun ada. Sebab banyak sangat step dan peraturan yang perlu dikuti... daripada menguli, rest kan dia, tunggu naik 2 kali ganda.. tak ke banyak kerenah tu. Prosesnya tu mengambil banyak masa sangat aku rasa. Baik aku pergi kedai, beli terus boleh makan. Buat apa susah2 kan?

 
Tapi alhamdulillah.. kali ni aku dah sampai seru. Dengan bantuan bibik yang aku datangkan dari Korea aku dah tak punya alasan lagi. Aku mesti lakukannya.. daaaaaannnn... jeng.jeng... inilah hasilnya..!!! ( background : tepukan gemuruh di sana sini ). Aku suka.... aku suka... aku dah berjaya buat roti.. Bestnyeerrrrrr...

 
Resepi ni aku ambil dari dapur Cik Mat Gebu (CMG) . Asal namanya bun coklat  berkalsium tinggi tapi sebab aku guna susu tepung biasa je maka ini kira bun coklat kalsium secukup rasa sahaja la.. Tak de la tinggi mana pun.. Boleh la takat nak jaga tulang dan gigi supaya kuat dan sihat..

 
Ini pandangan dari atas bumbung. Tak de lah comel sangat tapi aku puas hati lah untuk budak baru belajar macam aku ni. Lembut je roti ni. Siapa nak cuba meh ambik resepi...

BAHAN-BAHANNYA :-)

200 gram tepung roti (aku guna 250g tepung roti)
50 gram tepung gandum ( aku tak guna)
10 gram serbuk koko
15 gram susu tepung
125 ml susu tinggi kalsium perisa coklat (macam dalam gambar diatas) ( aku guna susu everyday dibancuh jadi 125ml)
30 gram telur (pecah satu biji, kacau dan timbang)
60 gram gula halus
7 gram instat yeast
1/4 camca teh garam
1/2 camca teh bread improver
1/2 camca teh bread softerner
40 gram mentega

CARA MEMBUATNYA :-)

1. UNTUK DOH :-
Sediakan beks berisi air panas, susu tinggi kalsium dituang dalam cawan tahan panas dan rendam cawan tadi dalam bekas berisi air panas, hingga susu suam. Keluarkan cawan dan masukkan yis ke dalam susu suam tadi, kacau rata dan biar berbuih.

2. Satukan semua bahan2 diatas, kecuali mentega, bersama susu + yeast tadi, gaul rata hingga menjadi doh. Tambah mentega dan terus menguli hingga mendapat doh yang kenyal dan tidak melekat ditangan (kurang lebih 20 minit menguli tanpa henti). Bulat2kan doh, letak dalam bekas, tutup bekas tadi dengan plastik cling dan biar terperap semalam 1 jam atau naik sekali ganda.

3. KAEDAH LAIN :- Masukkan semua bahan2 diatas ke dalam Breadmaker, pilih setting untuk DOH dan tekan "ON", tunggu hingga siap.

4. UNTUK BUN COKLAT :-
Keluarkan doh tadi, tumbuk untuk membuang udara, bahagiankan kepada 9 bahagian sama besar, bulat2kan setiap bahagian tadi sehingga licin, susun dalam tin pembakar bersaiz 8 inci x 8 inci x 3 inci yang telah disapu dengan sedikit mentega, buat hingga siap.

5. Perap 45 minit atau hingga naik sekali ganda. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190C selama 25 minit tau hingga kuning keemasan. Bila masak, keluarkan bun dari tin dan sejukkan atas jaringan, jika suka boleh sapu mentega pada permukaan bun tadi...


Ikhlas tapi jauh...

 

MAMA IS COOKING... Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting